Gambar pengantin:

 

Assalamualaikum...Tuan,

Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak tuan kerana telah
mewujudkan sebuah lawan web mengenai fotografi di dalam bahasa melayu, saya begitu gembira kerana telah menemui laman web tuan walaupun secara tidak sengaja...

Untuk makluman tuan, saya baru sahaja menceburi bidang fotografi ini dan jadikan ia sebagai hobi saya dimasa lapang, jadi saya memang tidak tahu apa-apa pun mengenai bidang ini.

Walau bagaimanapun saya ingin meminta nasihat daripada tuan tentang cara penggunaan serta teknik yang betul untuk kamera dan aksesori tambahan yang telah saya miliki untuk pengetahuan saya dimasa akan datang..:


Kamera CANON EOS ELAN II E
Lensa CANON EF 28 - 80 1:3.5 - 5.6 V USM
Lensa CANON EF 75 - 300 1:4 - 5.6 III USM
Speedlite CANON 380 EX
VIVITAR 2X Teleconverter
VITACON 2 IN 1  0.42X Semifisheye Lens/ Macro Lens.

Soalan 1.

Saya bercadang untuk mengambil gambar perkahwinan rakan karib saya pada bulan Mei ini, jadi apakah persiapan yang perlu bagi saya merangkumi semua aspek...jenis filem, setting, cara pengambilan gambar dari segi sudut, cara penggunaan speedlite dan jenis filter.

Soalan 2.

Saya ada terlihat gambar-gambar didalam majalah dan ianya ada tertera
setting yang digunakan, contoh..:

f/5.6 . 1/60 sec

Boleh tak tuan terangkan kepada saya secara terperinci bagaimana caranya untuk saya meniru setting ini menggunakan kamera dan aksesori yang saya ada.

Sekian saja untuk kali ini, untuk pengetahuan tuan saya masih ada banyak soalan yang ingin diajukan kepada tuan dan diharap tuan dapat menolong saya....dan jawapan dari tuan itu boleh dijadikan panduan untuk orang lain yang tidak tahu apa-apa mengenai bidang fotografi ini seperti saya..


Sekian terima kasih
Wassalam.........
Johari Sidek...

joharisidek@hotmail.com


Jawapan:

Waalaikummussalam. Terima kasih kerana telah menjadi pelawat laman Alam Senifoto. Memang tujuan utama saya mewujudkan Alam Senifoto untuk peminat, pengkarya seumpama saudara. Saudara boleh mendaftarkan nama  dalam Buku Pelawat yang telah saya sediakan untuk memudahkan komunikasi dengan rakan-rakan lain menerusi email. Ramai rakan-rakan  telah berjaya mewujudkan rangkaian hubungan dengan pengkarya lain (selain saya) dalam usaha mencanaikan lagi ilmu pengetahuan secara hubungan sahabat.

Menyentuh soalan saudara, saya boleh memberikan tip-tip tertentu dalam menghasilkan foto bermutu. Cuma yang pasti, utamakan praktikal objek lain sebelum memulakan rakaman lebih serius. Contohnya jika ada kawan, keluarga, anak saudara, anak-anak sendiri (jika sudah ada?). Jadikan mereka model percuma. Habiskan sedikit wang untuk membuat praktikal.

Mereka akan seronok jika foto yang kita rakam diperolehi secara percuma. Hasilnya mereka memuji kita. Jika sudah ada pujian maka kita akan terus merakam foto-foto agar lebih bermutu.

Gambar pengantin:
  •  Hilangkan perasaan gemuruh anda terlebih dahulu jika berdepan dengan  orang ramai
  •  Mesrakan diri anda dengan pengantin. Jadikan mereka umpama keluarga  anda. Hasilnya ada tidak malu untuk berdampingan dengan mereka dan sebaliknya. Tanya nama samaran pengantin, jika lelaki nama Hasnan; keluarga panggil Angah. Anda gunakan  panggilan itu. Jika perempuan nama Sabrina orang panggil Ina gunakan nama itu. Jangan tersalah panggil.!!!!
  •  Jika rumah pengantin anda tidak pernah pergi. Sila datang awal. Sedut udara sekitarannya supaya anda tidak merasa terasing.

Ok, kalau semua diatas tidak menjadi masalah pada anda, kita pergi pada teknik.

Anda menggunakan Kamera CANON EOS ELAN II E dengan Lensa CANON EF 28 - 80 1:3.5 - 5.6 V USM dan Lensa CANON EF 75 - 300 1:4 - 5.6 III USM. Dalam mengambil foto pengantin gunakan lensa EF 28-80 sahaja tapi cuba elok dari menggunakan 28 kerana ianya terlalu wide angle. gunakan antara 50 hingga 80 sahaja. Masalahnya jika menggunakan  28mm gambar akan kelihatan melengkung. 28mm cuma boleh digunakan ketika rakaman majlis angkat nikah dan suasana di luar rumah saja.

Speedlite CANON 380 EX- Gunakan teknik Bounce untuk menghilangkan bayang. Jika tidak anda boleh terus menggunakan teknik terus.

VIVITAR 2X Teleconverter- Tidak elok digunakan untuk projek ini.

Jenis filem yang baik ialah ISO 100 atau 200.

Setting, cara pengambilan gambar dari segi sudut, anda bolehlah menggunakan kreativiti untuk mencari yang terbaik. Elakkan kepala budak-budak. Minta kerjasama tukang andam  dengan memberikan masa 30 minit contohnya untuk sesi pengambaran. Pastikan pengantin tidak keletihan dan diletihkan oleh anda.  Beri mereka relex. Biarkan mereka keluarkan suasana ceria. Jika saudara boleh memberikan suasana humour adalah lebih baik. Gunakan latarbelakang yang boleh dibeli sendiri seperti kain baldu hitam, merah dan sebagainya. Selain itu anda boleh terus jadikan pelamin sebagai latarbelakang. Jika sudah mampu bolehlah menggunakan kain batik atau sebagainya demi melahirkan identiti anda.
 
Penggunaan speedlight boleh anda cuba dengan teknik pembalikan. (lihat bab Flash, soaljawab dalam bab teknik bounce)

Pastikan anda membawa Filter biru kerana cahaya video boleh memberikan kesan kuning pada foto anda. Soft filter boleh juga digunakan untuk memberikan kesan lembut pada muka pengantin perempuan.

Aperture f/5.6 . dan Shutter Speed 1/60 sec adalah yang disyorkan untuk penggunaan flash. Jika rakaman dilakukan antara 3 hingga 8 kaki elok guna f 8 SS 1/60. Itu pun untuk filem ISO 100. Jika 200 Aperture yang baik ialah: 11 dan  8

Sebagai lanjutan sila lawat ruangan soal jawab, bab: Masalah Bayang Gambar, Teknik Bounce untuk memahami teknik ini.  Anda juga dicadangkan melawat laman Studio Kampung, Jazlan Studio, Halim Studio. Mereka saya lihat banyak menonjolkan gambar-gambar potrek pengantin. Masuk ke ruangan Buku Pelawat dan cari laman web tersebut.

Semuga berjaya.

@RaaiMan TAHPermai 21042001